KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengumumkan tiada lagi kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api tabung gas asli (NGV) dibenarkan bagi kegunaan di atas jalan raya bermula 1 Julai 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu diputuskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 2 Oktober lalu di atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
“Terdapat dua kategori kenderaan motor yang menggunakan bahan api NGV iaitu kenderaan dikuasakan petrol yang diubah suai dengan kit atau komponen bagi penambahan penggunaan bahan api NGV (dual-fuel) dan kedua ialah kenderaan import khusus menggunakan NGV sahaja (mono-fuel).
“Daripada dua kumpulan kenderaan itu, terdapat lebih kurang 44,383 kenderaan aktif yang berdaftar dengan bahan api NGV di dalam rekod JPJ bagi tempoh tiga tahun,” katanya ketika sidang akhbar Sesi Pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di Malaysia di sini hari ini.
Susulan pengumuman itu, beliau berkata bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain, pihak Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV) telah mengambil inisiatif menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV.
Katanya program berkenaan disediakan untuk kumpulan sasar yang terjejas seperti pemandu kenderaan teksi NGV, para pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwi bahan api NGV.
“Pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak akan diberikan dalam bentuk e-baucar sebanyak RM3,000 melalui aplikasi Setel secara one-off.
“Sehubungan itu, supaya Petronas menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di dalam pasaran Malaysia sebelum penamatan sepenuhnya juga mulai 1 Julai 2025,” katanya.
Beliau berkata, syarat kelayakan utama adalah pemandu teksi NGV yang mempunyai Kad Pemandu dan Permit Kenderaan yang sah dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan aktif untuk tempoh mulai 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024.
“Namun, bagi mengelakkan perkara ini diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, individu yang mendaftar sebagai pemandu teksi NGV selepas 30 September
2024 tidak akan layak untuk menerima pakej ini.
“Pemohon yang berjaya akan mendapat pakej bantuan secara one-off ini dalam tempoh 15 ke 30 hari bekerja,” ujarnya.
Selain itu, turut disediakan pakej menanggalkan kit NGV terutamanya tangki daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwi-bahan api), termasuk teksi NGV.
“Semua kos akan ditanggung sepenuhnya dan hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar sahaja.
“Syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis dwi-bahan api yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024,” katanya.
Sementara itu, program tersebut juga menyediakan pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api
tunggal NGV menawarkan pembayaran secara one-off kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang akan ditentukan oleh wakil penilai bebas.
“Syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis bahan tunggal NGV yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE