KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), susulan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bernilai RM43.9 juta.
SPRM menerusi TikTok rasminya berkata, sebanyak empat pejabat FashionValet di Kuala Lumpur dibongkar secara serentak hari ini.
Menerusi video berdurasi 58 saat itu, sekumpulan pegawai SPRM dilihat memeriksa dokumen di premis berkenaan.
Selain itu, dua individu dipercayai usahawan fesyen yang juga pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dilihat sedang duduk berbincang bersama pegawai SPRM di salah satu pejabat mereka.
“Siasatan ini penting kerana ia merupakan satu kesberkepentingan awam. Proses siasatan sedang berjalan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM.
“Sebanyak empat lokasi telah diserbu dan dibongkarkan secara serentak hari ini,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh berhubung perkara berkenaan akan dijalankan secara adil dan profesional.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah turut mengarahkan Khazanah agar melakukan audit dalaman berhubung perkara itu.
PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.
Jumaat lalu, Vivy dan suaminya mengumumkan bakal melepaskan jawatan dalam FashionValet ekoran kerugian yang dialami. – KOSMO! ONLINE.