MUAR – Seorang pemuda dilaporkan hilang selepas berjalan ke tengah Sungai Muar di Jeti Parit Tiram, Jalan Salleh, Muar ketika air surut awal pagi semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba Muar, TPgB II Shahrizal Mokhtar, pihak bomba menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada kira-kira pukul 3.32 pagi.
“Melalui maklumat yang kami terima, pemuda berusia 20 tahun tersebut di lihat berjalan ke tengah sungai namun tidak kembali ke tebing selepas beberapa kali dipanggil.
“Pada pukul 11:30 pagi semalam, pencarian mangsa diperluaskan secara ‘surface searching’ meliputi 0.5 batu nautika ke hilir sungai oleh tiga orang anggota bomba.
“Pada sebelah petang, pencarian difokuskan di kawasan hotspot atau titik panas menggunakan bot fiber, melibatkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE