PEMAIN beregu campuran negara, Hoo Pang Ron mengakui pernah berada pada satu fasa di mana dia hampir berputus asa dengan kariernya kerana tidak dapat mencapai prestasi terbaik akibat kerap bertukar gandingan.
Bagaimanapun, situasi sukar itu sudah dilupakan memandangkan dia yang bergandingan dengan Cheng Su Yin ketika ini sedang berada pada prestasi terbaik apabila menghuni ranking ke-24 dunia.
Kata Pang Ron, dia sentiasa bekerja keras untuk melakar kebangkitan bagi mengejar kedudukan rakan sepasukan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang sudah memahat nama sebagai beregu campuran No. 1 negara.
“Semua orang memang akan melalui fasa ini (hampir mengalah) tetapi selepas bercakap dengan keluarga dan rakan-rakan, saya berjaya mengatasi perkara tersebut. Saya masih berjuang dan tidak pernah memperlahankan langkah.
“Kami hanya mahu berikan fokus satu demi satu langkah untuk meningkatkan prestasi. Selain itu, kami juga sering berbincang dengan jurulatih bagi meningkatkan keupayaan diri,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara baru-baru ini.
Gandingan Pang Ron-Su Yin menampilkan aksi cukup baik dalam lima kejohanan terakhir apabila mara ke separuh akhir Terbuka Macau selain layak peringkat sama ketika menyertai Terbuka Arctic, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.
Sementara itu, dia juga mengakui Su Yin merupakan seorang pemain yang sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki prestasi meskipun ada ketika mereka berdua berdepan konflik dalam gelanggang.
“Dia (Su Yin) memang sangat bermotivasi dan sentiasa bekerja keras selain sedia belajar sesuatu yang baharu. Dia juga selalu ikut cakap saya walaupun kadang-kadang ada konflik, namun itu bagus kerana kami ada komunikasi dua hala,” ujar Pang Ron.