fbpx

Kuala Selangor, Sungai Buloh, Pandan Mewah kini dipantau isu warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LANGAT – Kawasan sekitar Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Pandan Mewah di Ampang kini dalam pemantauan rapat polis susulan kebanjiran warga asing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya bersama Jabatan Imigresen (JIM) dalam rangka melakukan beberapa operasi bagi membanteras anasir tersebut.

“Bukan sahaja di lokaliti (Pandan Mewah, Ampang), tetapi lokaliti lain seperti Kuala Selangor dan Sungai Buloh yang dikesan ada lambakan warga asing yang kita sangsi keberadaan mereka.

“Lokaliti adalah dalam pemantauan polis dengan kita akan dapatkan risikan sebelum buat pemeriksaan atau operasi bersepadu dengan JIM,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat antara Asisten Komisioner Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh dengan Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin yang akan memangku jawatan itu.

Ahmad Ridhwan kini merupakan Penolong Pengarah D7 (Bahagian Gangsterism) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum ini, media melaporkan kebimbangan penduduk tempatan di flat Pandan Mewah dengan lambakan warga asing di kawasan terbabit yang boleh mengundang pelbagai isu termasuk jenayah.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan pihaknya kini telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sama ada banjir atau tanah runtuh susulan Monsun Timur Laut (MTL).

“Dua minggu lalu, kita ada mesyuarat bersama agensi lain dan kita telah pun bersiap sedia menangani MTL di peringkat daerah dan negeri.

“Ini termasuk dari segi persiapan bot-bot dan kekuatan sumber manusia. Malah, baru ini kita telah memperoleh khemah yang mempunyai kelengkapan lengkap (dari kerajaan negeri) untuk bencana,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI