fbpx

KPTM Pocket bantu bendung masalah buli, kesesakan daftar masuk pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzuan (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran aplikasi mudah alih KPTM Pocket di Bukit Mertajam, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/ KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) berusaha membendung masalah buli di institut terbabit selain mengelak berlaku kesesakan pendaftaran pelajar baharu dengan memperkenalkan aplikasi mudah alih pertama iaitu KPTM Pocket, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Radzuan Razali berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan jenayah buli membabitkan penuntut terutama di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berkenaan sekali gus mengambil langkah drastik.

Menurutnya, kewujudan aplikasi tersebut secara tidak langsung dapat memperkukuhkan jenama KPTM sebagai salah satu IPTS terbaik di negara ini termasuk sebagai usaha menyokong agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara.

“Kita di KPTM mengambil kira benda itu (kejadian buli) dan kita amat sensitif dengan perkara yang berlaku. Kita tak mahu apa perkara-perkara buli ini berlaku di KPTM.

“Jadi, apa yang kita akan laksanakan dalam KPTM Pocket adalah pelajar itu sendiri boleh membuat aduan menerusi aplikasi yang disediakan ini dengan memasukkan maklumat dan sebagainya sebelum ia dihantar kepada pentadbiran untuk diambil tindakan segera.

“Ketika ini, pihak KPTM memantau serius kejadian buli meskipun tanpa aplikasi yang diperkenalkan. Pelajar boleh melaporkan bila-bila masa sama ada mereka atau rakan yang menjadi mangsa buli,” katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Pelancaran aplikasi mudah alih KPTM Pocket di Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Selain itu katanya, KPTM Pocket ini juga bertujuan mengurangkan kesesakan ketika proses pendaftaran kemasukan pelajar tanpa perlu hadir secara fizikal ke kampus.

“Penyediaan maklumat lengkap semua program pengajian yang ditawarkan dan peluang kerjaya yang secara tidak langsung membantu pelajar untuk membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan maklumat tersebut,” ujarnya aplikasi KPTM Pocket itu mengambil selama enam bulan bagi proses pembangunannya.

Sementara itu, jelasnya lagi, KPTM yakin dengan adanya aplikasi baharu itu mampu mencapai sasaran pengambilan pelajar melebihi 100 peratus bagi tahun 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI