PETALING JAYA – Kos kehidupan bulanan bagi empat beranak yang tinggal di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Petaling dan Johor Bahru memerlukan lebih RM6,000 bagi memastikan segala keperluan harian mereka mencukupi serta selesa.
Menerusi semakan Kosmo! di laman sesawang mypakw.dosm.gov.my, anggaran perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) bagi sebuah keluarga dengan dua orang anak yang bersekolah memerlukan sekitar RM6,335 hingga RM6,855 sebulan.
Ini bermakna setiap ibu dan bapa perlu memperoleh gaji sekitar RM3,400 seorang bagi menampung kos kehidupan bulanan.
Sementara itu, bagi menampung kos kehidupan seorang individu dewasa di tiga kawasan yang sama memerlukan pendapatan bulanan antara RM2,194 hingga RM2,338.
Terdahulu, laporan Indikator Kos Sara Hidup yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) merekodkan purata PAKW nasional per kapita sebanyak RM1,314 sebulan dengan 35 peratus dibelanjakan untuk makanan.
Katanya, isi rumah di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang membelanjakan jumlah tertinggi per kapita setiap bulan pada tahun lepas bagi PAKW.
Menurut DOSM, penduduk di kawasan bandar membelanjakan RM467 seorang untuk makanan setiap bulan, berbanding RM411 dalam isi rumah luar bandar. – KOSMO! ONLINE