fbpx

Giliran Jeonbuk jadi sasaran Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL (kanan) mendapat pujian daripada jurulatih Selangor ketika menewaskan KDA malam kelmarin. - SHAHIR NOORDIN

SELEPAS berjaya mengatasi Kedah Darul Aman FC (KDA) 1-0, pengendali interim Selangor FC, Abdi Hassan mahu memberi tumpuan pada perlawanan menentang Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada Sabtu ini.

Menurutnya, beliau gembira dengan kemenangan itu hasil jaringan tunggal Aliff Izwan Yuslan, namun masih terdapat aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan Selangor dapat mencatat keputusan terbaik di Korea Selatan.

“Kemenangan ke atas KDA amat diperlukan bagi mendapatkan impak positif setelah kami tewas kepada Johor Darul Ta’zim minggu lalu. Saya gembira dengan keputusan ini, namun merasakan sebaliknya apabila deretan peluang tidak diterjemah kepada jaringan.

“Berdasarkan deretan peluang, kami sepatutnya menang besar selain menghasilkan gol lebih awal untuk merencatkan semangat pemain KDA,” katanya..

Ujarnya, pihaknya mengetahui KDA memiliki rangkaian serangan berbahaya dan pasukan perlu berhati-hati dengan menjaringkan lebih banyak gol bagi menjadikan keadaan lebih ‘selamat’.

“Kami sepatutnya menang lebih besar setidak-tidaknya 3-0. Pemain ada mengadu mengenai keadaan padang yang agak ‘berat’ tetapi apabila bercakap mengenai menyempurnakan peluang jaringan, itu perlu diperbaiki lebih-lebih lagi menentang Jeonbuk,” jelasnya.

Mengulas mengenai tindakannya mengetengahkan Faisal Halim dalam kesebelasan utama sejak tragedi hitam melanda pemain itu pada Mei lalu, Abdi berkata, bekas pemain kebangsaan tersebut berjaya memainkan peranan yang sangat baik.

“Dia berjaya menewaskan beberapa pemain menerusi aksi lincah sehingga membuatkan pengadil melakukan semakan Video Bantuan Pengadil apabila bola didakwa terkena tangan dalam kotak penalti.

“Ini permulaan buatnya dan dia melaksanakan tugas dengan sangat baik. Dia pemain yang bijak membuat keputusan selain memiliki kebolehan meninggalkan lawan dan saya akan terus memberi galakan kepadanya untuk mendapatkan kembali sentuhan,” katanya.

Dalam masa sama, pengendali berasal dari Belanda berkata, ketiadaan penjaring terbanyak mereka, Ronnie Fernandez adalah sebahagian daripada strategi penggiliran pemain bagi menentang Jeonbuk pada Sabtu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI