NEWCASTLE – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menganggap peluang mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) masih terbuka meskipun tergelincir daripada landasan sebenar selepas tewas 0-1 kepada Newcastle United malam kelmarin.
Dalam aksi di St. James Park itu, Arsenal ternyata dilihat bergelut apabila hanya mampu merekodkan satu percubaan tepat ketika tewas 0-1 kepada Newcastle hasil jaringan tunggal Alexander Isak pada minit ke-12.
Kekalahan itu menyebabkan Arsenal kini di tangga keempat EPL dan ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool yang menerajui carta EPL selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini.
“Saya amat memahami tetapi selepas lapan, sembilan dan 10 perlawanan musim lalu, kami tidak bercakap mengenainya (kejuaraan EPL). Jadi sekarang saya mengambil pendekatan sama.
“Anda tidak akan menemui jawapan sekarang kerana baru 10 perlawanan. Ia bukan mengenai peluang memenangi gelaran tetapi anda perlu berikan versi paling baik pada setiap minggu.
“Tiada kata-kata mengambarkan perasaan sekarang tetapi kami berhak tewas. Sekarang kami perlu bangkit berikan reaksi balas dan harap dapat lakukannya menentang Inter Milan nanti,” kata Arteta.
Biarpun berdepan masalah kecederaan dan kekurangan kreativiti tetapi Arteta perlu segera mencari penyelesaian jika tidak mahu tumbang di tangan Inter dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium San Siro awal pagi Khamis ini.
Sebagai rekod, Arsenal menewaskan Inter dua kali daripada tiga pertemuan mereka termasuk menang 5-1 ketika kali terakhir bertemu di pentas UCL pada 2003 menerusi dua jaringan Thierry Henry dan satu daripada Freddie Ljungberg, Edu serta Robert Pires. – AGENSI