KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain menegaskan anak-anak buahnya harus diberi pujian, bukannya dipersalahkan apabila tewas dua kali berturut-turut apabila kalah 0-1 kepada Selangor FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.
Menurut penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2022 itu, barisan pemainnya telah melakukan yang terbaik di sebalik keadaan fizikal dan tahap mental mereka.
Kataya, pemain masih berdepan pelbagai masalah di luar padang termasuk berkaitan isu tunggakan gaji yang belum selesai dan berterima kasih kepada anak-anak buahnya kerana masih sanggup turun beraksi buat masa sekarang.
“Dalam perlawanan menentang Selangor, semua orang tahu mengenai kualiti yang ada pada pasukan itu dan di pihak kami pula, para pemain telah memberikan yang terbaik. Kita harus terima kekalahan ini dan sedar mengapa kita tewas.
“Ketika ini semua pemain harus diberi pujian dan bukan dipersalahkan. Kita perlu berterima kasih kepada mereka kerana masih bermain untuk masa sekarang.
“Dalam keadaan sekarang, saya nak jalankan tugas sebagai jurulatih pun agak sukar ketika pemain masih dibelenggu pelbagai isu. Apabila mereka tampil di padang latihan pun sudah mencukupi buat kami,” ujarnya.
Dalam perlawanan menentang Selangor kelmarin, Sang Kenari tumpas 0-1 hasil jaringan penyerang muda, Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-46.
Mengulas lanjut, Nafuzi mengakui, Selangor merupakan pasukan yang jauh lebih baik dalam segala aspek termasuk fizikal, kecergasan serta kekuatan pemain sehingga membolehkan mereka mengawal tempo permainan.
“Dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk kita bersaing dengan Selangor. Kami memang mahukan kemenangan terutama setelah tewas kepada Sabah minggu lalu tetapi perlu akur dan agak sukar untuk berdepan mereka dalam situasi sekarang.
“Walau apa pun keadaannya, pemain telah mencuba yang terbaik dan saya hormati serta bangga. Mereka masih penat setelah mengharungi perlawanan dalam tempoh singkat dan kualiti ada pada Selangor menekan kami untuk mereka mencatat kemenangan,” tambahnya.