fbpx

Semua syarikat milik agensi KKDW catat keuntungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah, duduk) bersama Rubiah Wang (dua dari kiri, duduk) bergambar bersama kakitangan semua syarikat milikan agensi KKDW.

KUALA LUMPUR – Kesemua syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah(KKDW) telah mencapai keuntungan pendapatan lebih baik pada suku ketiga tahun ini berbanding tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri yangjuga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbangga dengan pencapaian, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap syarikat untuk terus mencapai matlamat serta menjana
keuntungan.

“Saya telah menyarankan agar syarikat-syarikat ini terus fokus dalam meningkatkan potensi perniagaan sedia ada di samping berusaha untuk meneroka perniagaan dan industri baharu yang berpotensi untuk memberi pulangan pendapatan yang tinggi.

“Saya turut menekankan kepentingan organisasi melakukan pendekatan ‘hands-on’ bagi mendepani dunia perniagaan yang semakin kompetitif.

“Untuk memacu kejayaan, tidak cukup sekadar berpuas hati terhadap teori atau strategi yang ditetapkan di atas kertas tetapi pihak pengurusan perlu terlibat secara langsung dalam setiap aspek operasi, dari perancangan hingga pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, dengan cara itu kita bukan sahaja dapat mencapai matlamat organisasi, tetapi juga membina budaya kerja yang positif dan produktif.

Ahmad Zahid berkata, KKDW terus komited dalam memastikan setiap agensi serta syarikat-syarikat milikan agensi di bawahnya terus berperanan seiring dengan visi dan misi kementerian sebagai peneraju kemajuan dan kesejahteraan masyarakat desa secara menyeluruh dan berkesan.

Sehubungan itu, pada 29 dan 30 Oktober lalu berlangsung Permukiman Syarikat Milikan Agensi di bawah KKDW.

Ahmad Zahid berucap pada majlis Permukiman Syarikat Milikan Agensi di bawah KKDW di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Permukiman itu melibatkan Risda Holding Sdn. Bhd. (Risda), Felcra Berhad Sdn. Bhd. (Felcra),  Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) iaitu Ketengah Holding Sdn. Bhd (Ketengah), Kesedar Holdings Sdn. Bhd (Kesedar), Kejora Holding Sdn. Bhd. (Kejora), Keda Holdings Sdn. Bhd. (Keda) dan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (Perda).

“Pertemuan ini bertujuan menilai status semasa syarikat dan memperhalusi gerak kerja agar setiap agensi mencapai matlamat serta penunjuk prestasi yang ditetapkan.

Antara yang mencatatkan ke jayaan memberangsangkan adalah Ketengah Holdings Sdn. Bhd. dengan merekodkan pendapatan semasa sehingga September 2024 adalah sebanyak RM355.78 juta.

Keuntungan sebelum cukai dalam tempoh tersebut adalah sebanyak RM53.80 juta.

“Selain itu, prestasi kewangan Risda juga berada sangat baik dengan pendapatan sebanyak RM33 juta dan diunjurkan mencapai RM70 juta pada tahun berakhir 31 Disember 2024,” ujarnya.

Begitu juga Felcra beroleh peningkatan dalam pendapatan sebanyak RM1,131.49 juta setakat September berbanding RM1,019.21
juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Kesedar Holdings Sdn. Bhd turut mencapai prestasi kewangan yang sangat baik iaitu berada pada tahap RM1.8 juta setakat September ini dan diunjurkan kepada RM2.7 juta pada tahun berakhir 31 Disember,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, kejayaan prestasi kewangan yang dicapai oleh syarikat-syarikat itu membuktikan bahawa tatakelola pengurusan telah dilaksanakan dengan baik selaras dengan penekanan oleh Menteri KKDW, Ahmad Zahid.

“Kejayaan tersebut juga dipacu oleh penetapan plan perniagaan yang lebih terancang dan berdaya maju, maksudnya pelaksanaan aktiviti program perniagaan yang baik memberikan unjuran serta keuntungan lebih positif kepada syarikat.

“Pelan perniagaan juga dipilih selari dengan objektif dasar KKDW dan negara dalam aspek seperti keterjaminan makanan, harta tanah, agrotourism dan pelbagai aktiviti lain yang menguntungkan agensi-agensi berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang sesi permukinan tersebut, anak-anak syarikat dilihat berjaya membentangkan pelan perniagaan yang sangat baik dan berdaya maju sehingga dapat memberikan keuntungan kepada syarikat masing-masing.

Mengulas mengenai sasaran tahun hadapan, Rubiah berkata, perkara itu akan ditetapkan dalam sesi permukiman seterusnya pada Januari 2025.

“Ada anak syarikat yang melebihi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan pada tahun ini.

“Sasaran baharu ini, kita akan tetapkan pada Januari yang mana ia dijangka lebih hebat daripada tahun ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI