PETALING JAYA – Ribut kuat dalam tempoh kira-kira 15 minit di Parlimen Sekijang, Segamat, Johor semalam mengakibatkan kira-kira 100 buah terjejas.
Ahli Parlimen Sekijang, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebahagian bumbung rumah di lokasi kejadian tercabut selain terdapat kereta serta motosikal penduduk dihempap pokok.
“Rumah terkesan di sekitar Kampung Tengah, Kampung Mengkudu, Bukit Lintang, Taman Sulir, Pekan Jabi dan kawasan-kawasan sekitarnya.
“Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah juga terkesan. Semuanya berlaku dalam tempoh yang singkat, hanya dalam kurang lebih 15 minit sahaja,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, beliau menziarahi mangsa-mangsa yang terkesan akibat kejadian itu, hari ini.
Katanya, beliau turut menyerahkan bantuan kewangan dan bakul makanan kepada para mangsa.
“Saya minta agensi-agensi kerajaan untuk bantu mempermudah dan mempercepat semua urusan dan bantuan kepada mereka yang terkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE