KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Betrand Rhodict dan Jellson Jabilin tampil cemerlang apabila merangkul pingat emas dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2024 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu diraih selepas menewaskan penerjun pilihan dari Jepun dengan perbezaan tipis 1.44 mata, mencatat skor keseluruhan 369.84 mata berbanding 368.40 mata oleh wakil Jepun.
Selepas kemenangan tersebut, Rhodict meluahkan rasa bangga dan berkongsi cabaran di sebalik kejayaan mereka termasuk masalah kesihatan yang dihadapi sebelum pertandingan.
“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian hari ini. Pada awalnya, kami bimbang tidak dapat memberikan yang terbaik kerana saya baru baik demam dan Jellson pula demam dua hari sebelum acara.
“Syukur kami tetap dapat beraksi walaupun saingan amat tipis, hanya 1.44 mata memisahkan kami dengan lawan. Rezeki berpihak kepada kami kali ini,” ujar Rhodict.
Ia merupakan kali pertama mereka bergandingan dalam acara platform seirama lelaki selepas Rhodict sebelum ini berpasangan dengan Enrique McCartney.
“Kami cuba tukar pasangan kali ini dan secara jujurnya, kami beraksi dengan baik. Saya gembira dengan pencapaian ini,” tambah Rhodict.
Rhodict turut mengesahkan mereka akan kembali beraksi dalam acara individu hari ini dengan harapan untuk menampilkan persembahan terbaik.
Sementara itu, pengarah teknikal kem terjun negara, Bryan Nickson Lomas turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian duo muda yang berjaya melepasi skor kelayakan minimum (MQS) yang ditetapkan.
“Meskipun ini gandingan pertama mereka, tetapi mereka telah melepasi MQS dengan baik. Walaupun ada beberapa aspek perlu diperbaiki, yang penting mereka sudah mencapai standard ditetapkan. Sekurang-kurangnya kita ada satu pasangan yang layak,” kata Bryan. – KOSMO! ONLINE