PETALING JAYA – Kesesakan teruk lebuh raya utama ke ibu kota berlaku ketika ini susulan orang ramai pulang daripada bercuti lima hari sempena Deepavali, yang berakhir hari ini.
Menurut tinjauan Kosmo! di Instagram, seorang pengguna media sosial, Lily Mustapha menyatakan kesesakan sudah mula dirasai sejak semalam.
“Semalam lagi dah sesak teruk, sepanjang-panjang lebuh raya. Mujur saya nak balik ke Pahang, lebuh raya tak sesak,” katanya.
Namun, bagi pengguna lain seperti Eina Kherull, perjalanan dari Kuala Kangsar ke Rawang yang biasanya mengambil masa dua jam telah memakan masa tiga jam setengah.
“Dari Kuala Kangsar tadi pukul 11 pagi. Sekarang baru sampai Rawang. Jumlah tiga jam setengah. Biasanya, dua jam je,” jelasnya.
Pengguna bernama Maryclara turut berkongsi pengalaman perjalanannya yang memakan masa luar biasa lama.
“Semalam dari Penang balik ke Kuala Lumpur, 10 jam ya. Aku ingat tu dah cukup sesak, rupanya hari ini sesak juga,” ujarnya merujuk kepada keadaan trafik yang masih sesak walaupun selepas sehari cuti perayaan.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Adam Irfan, melaporkan bahawa dia telah berada dalam kesesakan selama lima jam di Sungai Perak dan masih jauh untuk sampai ke Kuala Lumpur.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan teliti dan bersedia untuk menghadapi kesesakan. – KOSMO! ONLINE