BANGKOK – Sekumpulan pelancong panik apabila satu kejadian tembakan berlaku di hadapan sebuah restoran di Pattaya, Thailand, lapor laman berita The Pattaya News.
Sejurus tiba di lokasi kejadian selepas mendapat maklumat, polis mendapati bahawa pelancong, pengusaha bas dan beberapa penduduk tempatan berada dalam keadaan panik.
Terdapat juga tanda-tanda pergaduhan di tempat kejadian termasuk motosikal rosak, barang-barang bertaburan dan tompokan darah di atas tanah.
Individu yang melepaskan tembakan bagaimanapun melarikan diri sebelum polis tiba.
Seorang saksi yang dikenali sebagai Amnuay, 65, berkata, dia melihat seorang lelaki bersenjata menembak ke arah sekumpulan orang yang dipercayai warga asing.
Mangsa yang cedera terjatuh sebelum segera dibawa lari oleh rakan-rakannya menaiki van Alphard berwarna hitam, yang nombor platnya masih tidak diketahui.
Lelaki bersenjata itu melarikan diri dari tempat kejadian dan masih bebas. – AGENSI