SEPANG – Pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia berjaya menyekat hasrat Jorge Martin dari Pramac Racing untuk meraih gelaran dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila bangkit menjuarai Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebentar tadi.
Bagnaia, yang memikul tekanan untuk melengkapkan gelaran dunia tiga kali berturut-turut itu turun ke litar dengan tekanan yang tinggi selepas terjatuh dalam perlumbaan sprint semalam menyebabkan dia ketinggalan 29 mata di belakang Martin.
Namun, pengalaman pelumba Itali itu yang memenangi gelaran dunia pada edisi 2022 dan 2023 membantunya mengatasi tekanan tersebut dan Bagnaia berjaya memintas Martin beberapa kali sebelum menguasai perlumbaan hingga ke garisan penamat.
Martin yang bermula baik pada awal perlumbaan terpaksa akur dengan kedudukan kedua di podium dan erlu bekerja keras untuk memastikan kejuaraan dunia menjadi miliknya dalam perlumbaan terakhir sama ada di Litar Catalunya, Barcelona atau Losail, Qatar selepas perlumbaan Valencia yang sepatutnya berlangsung 15 hingga 17 November dibatalkan.
Kemenangan Bagnaia di Sepang menambah 461 mata dalam kedudukannya meletakkan dia di tempat kedua keseluruhan sementara Martin kekal di puncak dengan 485 mata.
Bagnaia yang juga penyandang juara mengakui bahawa Martin memang beraksi dengan agresif sejak awal perlumbaan.
“Dia tidak membenarkan saya berada di depan dan mahu meninggalkan saya di belakang. Saya memahami kenapa dia bertindak sedemikian apa pun kemenangan ke-10 musim ini adalah satu tugas yang hebat daripada pasukan,” katanya.
Sementara itu, Martin mengakui bahawa perlumbaan hari ini memang sangat sukar dan dia sendiri juga mahukan kemenangan.
“Pecco beraksi dengan begitu agresif dan saya juga seperti itu. Sentiasa ada tekanan dalam perlumbaan ini dan sekarang penentuannya adalah pada perlumbaan terakhir,” katanya yang memenangi perlumbaan pecut GP Malaysia semalam.
Perlumbaan kelas utama itu turut dicemari insiden apabila tiga pelumba kelas perdana, Jack Miller, Brad Binder, dan Fabio Quartararo terlibat dalam pelanggaran di selekoh kedua sebaik sahaja perlumbaan bermula.
Hanya Quartararo yang berjaya meneruskan saingan dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima, manakala Binder dan Miller terpaksa menarik diri.
Perebutan tempat ketiga terus terbuka apabila rakan sepasukan Pecco, Enea Bastianini berjaya menamatkan perlumbaan dengan kedudukan podium tempat ketiga selepas menambah 368 mata dalam kedudukan keseluruhan dan kini hanya dipisahkan satu mata dengan Marc Marquez (369 mata). – KOSMO! ONLINE