SEPANG – Pelumba muda negara, Helmi Azman mengakui tahapnya masih jauh ketinggalan dengan bintang-bintang handalan dunia selepas menamatkan Moto2 Grand Prix (GP) Malaysia pada kedudukan ke-23 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Helmi, 24, yang beraksi bersama Petronas MIE Racing RW menjelaskan dia memberikan sepenuh usaha sejak hari pertama perlumbaan walaupun tidak mempunyai peluang menguji jentera itu lebih awal pada tahun ini.
Meskipun memperbaiki catatan masa berbanding tahun sebelumnya, dia akur cabaran bersaing di pentas dunia jauh lebih besar berbanding kejohanan di peringkat Asia.
“Saya puas hati sebab dah bagi yang terbaik sejak hari pertama. Prestasi saya ada peningkatan berbanding tahun lepas dan catatan masa yang diharapkan juga tercapai.
“Pada perlumbaan sebentar tadi, saya bermula dengan baik dan cuba bersaing dengan pelumba lain. Saya bertahan selama 12 pusingan tetapi baki lima pusingan terakhir sukar kerana tayar mula kehabisan cengkaman.
“Saya datang dengan pengalaman Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Cub Prix dan saya tahu ini bukan tahap saya kerana bersaing dengan Moto2. Walaupun berlumba di negara sendiri, saya perlu akui masih jauh dengan pelumba bertaraf dunia,” kata Helmi.
Mengulas mengenai insiden kemalangan dialaminya dalam sesi kelayakan, Helmi mengakui kecederaan kecil sedikit mengganggunya tetapi enggan memberi alasan kerana masih yakin mampu lakukan yang terbaik.
“Semalam semua tahu saya mengalami kemalangan besar ketika sesi kelayakan. Saya tidak menjangkakan keadaan jadi seteruk itu. Saya berharap Khairul Idham Pawi lekas sembuh selepas dia mengalami patah tangan dan kecederaan di bahagian kaki.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan oleh pasukannya dan peminat Malaysia yang hadir hari ini,” ujar Helmi yang tetap bersemangat dan berjanji untuk terus berusaha serta memperbaiki diri bagi menghadapi saingan pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE