KOTA KINABALU – Jentera serangan Sabah sekali lagi mencuri perhatian apabila meraih kemenangan besar buat kali keempat berturut-turut ketika mengalahkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-1 di Stadium Likas, sebentar tadi.
Sebelum ini The Rhinos berjaya kalahkan Perak 4-2, Penang FC (4-0) dan Kedah Darul Aman FC (KDN FC) 5-2.
Penyerang Import Sabah, Joao Pedro terus ‘mengganas’ apabila menyumbangkan dua gol diikuti satu jaringan daripada Gariel Peres dan Farhan Roslan.
Terdahulu, Pedro hanya memerlukan 17 minit untuk membuka akaun jaringanya namun Fazrul Amir Zaman kembali menyamakan kedudukan buat KDN FC.
Bagaimanapun, selang seminit selepas itu Farhan kembali memberikan kelebihan buat Sabah sebelum Pedro sekali lagi merobek gawang lawan pada minit terakhir babak pertama.
Selepas 15 minit separuh masa kedua bersambung, Sabah makin selesa apabila memperoleh gol keempat menerusi ledakan Peres dan walaupun KDN FC terus berusaha menambah jaringan, kedudukan 4-1 kekal hingga wisel penamat.
Ini adalah kekalahan ke 11 KDN FC manakala Sabah yang berada di tangga ketiga Liga Super dengan 26 mata hanya dipisahkan tiga mata berbanding Selangor di tempat kedua. – KOSMO! ONLINE