MINAT terhadap dunia fesyen dan kecantikan menjadi titik tolak kepada Nur Sabrina Azmi untuk bergelar pencipta kandungan secara sambilan.
Gadis berusia 24 tahun dari Subang Jaya, Selangor yang mempunyai lebih 15,000 pengikut di Instagram itu kerap berkongsi mengenai tips berfesyen untuk panduan wanita.
Namun siapa sangka anak bongsu daripada dua beradik ini rupa-rupanya seorang ‘ulat buku’ dan menggemari genre kisah percintaan. Kepada Kosmo! Ahad, Sabrina berkongsi serba sedikit mengenai dirinya.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan mengenai diri Sabrina?
SABRINA: Saya baru sahaja menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda. Saya suka membaca buku dan journaling. Ketika ini saya merupakan seorang content creator dan masa sama bekerja bidang peruncitan.
Bagaimana boleh terjebak sebagai content creator?
Pada mulanya, saya tidak bercadang menjadi pencipta kandungan, tapi pada 2021, saya memuat naik video di TikTok dan mendapat sambutan. Setakat ini saya berkongsi tentang fesyen, kecantikan dan gaya hidup. Saya tidak pernah menyesal bergelar content creator.
Pernah dikecam atau menerima komen negatif daripada pengikut?
Saya pernah menerima komen negatif sebelum ini sama ada saya membalas komen tersebut atau block (sekat) sahaja.
Sebagai ulat buku, apakah genre disukai Sabrina?
Saya suka membaca novel romance (cinta) sejak sekolah menengah lagi. Saya tidak menggemari buku-buku tertentu, tetapi penulis kegemaran saya, Nicholas Sparks. Saya juga mempunyai ‘perpustakaan mini’ di rumah yang menghimpunkan koleksi bacaan saya dan keluarga.
Boleh kongsikan tips untuk memupuk minat membaca?
Cuba membaca apa-apa bahan bacaan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dan lama-kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan.
Definisi cantik pada pandangan Sabrina?
Bagi saya cantik lebih daripada sekadar penampilan. Terdapat banyak aspek kecantikan semuanya bergantung kepada perspektif dan pilihan peribadi. Kecantikan bagi saya adalah cara bertindak dan keperibadian. Semua orang cantik, walaupun anda tidak dapat melihatnya. Paling penting perbaiki diri akan menjadikan anda lebih sihat dan cantik dari dalam dan luar.
Ciri-ciri lelaki pilihan anda?
Stabil dari segi kewangan dan boleh bekerjasama dengan baik.
Apakah pegangan hidup Sabrina?
Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Hargai perkara kecil dalam kehidupan.