JOHOR BAHRU – Keputusan akhir kes pembelaan bersabit seorang peniaga memukul isterinya yang sedang mengandung sehingga cedera parah pada Jun 2021 lalu ditetapkan pada 9 Disember depan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Fatimah Zahari menetapkan tarikh itu selepas tertuduh, Rosmaini Abd. Raof, 41, gagal hadir ke mahkamah atas alasan dimasukkan ke wad hospital kerana tidak sihat.
Peguam tertuduh, Mohd. Salleh Togimin berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu oleh isteri tertuduh, petang semalam.
“Dia tidak hadir kerana tidak sihat dan dimasukkan ke Hospital Pendang, Kedah petang semalam kerana sesak nafas dan tidak sedarkan diri selepas menjalani latihan bola sepak,” katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh diwakili Mohd. Salleh, Kamal Hisham Ja’afar dan Aina Kamilah Zalizan.
Turut hadir dalam prosiding itu, peguam pemerhati Syufri A. Samad dan Muhammad Hazeem Mohd. Norizan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini didakwa telah memukul kepala, muka, tangan dan menghentakkan kaki ke belakang tangan Jahidah Nordin@Sylvester, 46, yang ketika itu masih isteri ketiganya, sehingga mangsa cedera parah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin di sini pada pukul 6 pagi 4 Mei 2021.
Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda dan boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Jahidah yang merupakan seorang penjawat awam telah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada 30 Nov 2021.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban telah membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Feb 2023.