PUTRAJAYA – Fenomena tahunan juraian meteor Taurid Selatan bakal dapat disaksikan di Malaysia pada malam 4 November ini ekoran tiada gangguan dari pantulan cahaya bulan.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) yang dihubungi, ketika kejadian tersebut, bulan masih dalam fasa baharu setelah hilal atau anak bulan Jamadil Awal terbentuk semalam.
“Justeru, tahap kenampakan hujan atau pancuran tersebut diunjurkan adalah bagus kerana langit bebas gangguan sinaran bulan ketika kemuncak juraian meteor berlaku,” katanya.
Secara umum ujarnya, lintasan meteor Taurid Selatan sebenarnya dapat disaksikan jelas di seluruh dunia setiap tahun yang lazimnya bermula 23 September sehingga 8 Disember.
Untuk tahun ini, juraian berkenaan dijadualkan mencapai kemuncak pada lewat 4 November dan berlarutan awal pagi keesokannya dengan anggaran purata lima meteor per jam.
Kelazimannya jelas Mysa, peristiwa meteor ini memiliki dua aliran dengan dirujuk sebagai Taurid Selatan dan Taurid Utara yang dapat dilihat di semua lokasi kecuali Kutub Selatan.
Dua fenomena hujan angkasa itu merujuk titik kemunculannya di kawasan langit yang disebut buruj Taurus apabila bumi beredar mengelilingi matahari melintasi laluan orbit komet.
“Bezanya, Taurid Selatan berasal daripada komet 2P/Encke yang berlaku awal bulan ini manakala Taurid Utara pula pada 12 November disebabkan asteroid 2004 TG_10,” katanya.
Kedua-dua juraian meteor Taurid itu namun bergerak perlahan ketimbang pancuran meteor yang lain dengan kelajuannya hanya 28 kilometer per saat atau 100,800 kilometer sejam.
Agensi berkenaan turut menyarankan peminat astronomi yang berhasrat mencerap meteor Taurid Selatan agar terlebih dahulu menyesuaikan mata dengan keadaan gelap selama 20 minit selain diminta berada di kawasan lapang yang gelap tanpa cahaya lampu. – KOSMO! ONLINE