PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang hampir di seluruh negara sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan, negeri utara yang terlibat adalah Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim dan Bandar Baharu) dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
“Keadaan sama dijangka berlaku di Pantai Timur melibatkan Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin),” katanya.
Tambahnya, cuaca buruk ini juga memberi kesan kepada beberapa kawasan di selatan negara termasuk Negeri Sembilan (daerah Kuala Pilah dan Tampin), Melaka, Johor dan Selangor.
“Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau), Tawau dan Sandakan (Tongod) juga tidak terkecuali,” ujarnya.
Selain itu, Sarawak juga diramal mengalami ribut petir di kawasan Kuching, Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Kapit (Song dan Belaga), Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang. – KOSMO! ONLINE