LONDON – Chelsea turun menentang Manchester United tengah malam ini dengan misi untuk menamatkan badi aksi di Old Trafford selepas mereka hanya meraih satu kemenangan dalam lima pertemuan terakhir di stadium berkenaan.
Kali terakhir mereka meraih kemenangan di gelanggang lawan itu pada Julai 2020 sebelum empat aksi selepas itu berakhir dengan dua keputusan seri dan dua aksi terakhir pada tahun 2023 menyaksikan mereka tewas kedua-dua perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, pengendali Chelsea, Enzo Maresca mungkin sedikit lega selepas menyaksikan prestasi yang dipamerkan oleh para pemainnya dalam beberapa aksi kebelakangan ini kecuali ketika mereka tewas berdepan Newcastle United hingga tersingkir di Piala Liga Inggeris.
“Saya berharap ini adalah masa yang terbaik buat kami berdepan mereka. Old Trafford adalah tempat yang sukar untuk kami meraih kemenangan berdasarkan rekod perlawanan lalu,” katanya.
Tambahnya, Chelsea juga mengharapkan bintang mudanya, Cole Palmer terus mengekalkan aksi terbaik yang dipamerkan selepas meledak tujuh gol dan melakukan lima umpanan gol dalam semua kejohanan setakat ini.
“Seperti yang saya katakan pada awal musim, jika kita menjangkakan Palmer meledak 20 gol dan 20 umpanan gol, bermakna kita akan tersilap. Kita tidak boleh meletakkan tekanan melampau kepadanya.
“Dia perlu menikmati bola sepak yang sedang dilaluinya ketika ini dan apabila dia tenang, anda dapat lihat apa yang dia mampu berikan kepada pasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Maresca mengakui pertemuan menentang United yang dikemudi Ruud Van Nistelrooy mengembalikan memorinya ketika mereka bersama-sama beraksi di Malaga pada musim 2011/12 sebelum ini.