LISBON – Pengurus baharu Manchester United, Ruben Amorim mendedahkan beliau mahu menangguhkan perpindahannya daripada Sporting Lisbon sehingga hujung musim ini tetapi terpaksa mengubahnya selepas diberi kata dua ‘sekarang atau tidak’.
Amorim, 39, dilantik secara rasmi oleh United kelmarin yang menyaksikan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu perlu membayar €11 juta (RM52.41 juta) sebagai pampasan kepada juara Liga Primeira Portugal tersebut.
Ia bermakna pengendali yang berasal dari Lisbon, Portugal itu akan memulakan tugasnya di Old Trafford pada 11 November ini.
“Saya cuma ada tiga hari untuk menentukan pilihan yang secara radikalnya mengubah kehidupan saya.
“Saya meminta ia (perpindahan) ini berlaku di penghujung musim tetapi mereka (United) beritahu sama ada sekarang atau tidak. Saya tahu kalau saya menolaknya sekarang, ia tidak akan berlaku dalam enam bulan nanti.
“Saya juga sedar dalam enam bulan ke hadapan nanti mungkin saya juga tidak lagi berada di Sporting,” kata Amorim selepas membantu Sporting membelasah Estrela 5-1 awal pagi semalam.
Amorim yang pernah menjuarai dua kejuaraan liga bersama Sporting sejak dilantik pada 2020, mendedahkan beliau sebenarnya telah membuat keputusan untuk meninggalkan kelab itu sebelum menerima tawaran daripada United.
“Presiden (Sporting) sedia maklum bahawa ini adalah musim terakhir saya bersama Sporting dari awal musim lagi. Tiba-tiba United datang dan mereka membayar lebih daripada klausa perpindahan.
“Saya menerima beberapa tawaran sebelum ini dan saya sedar ia akan berlaku juga (meninggalkan Sporting). Sekarang sudah tiba masa untuk saya membuat keputusan dalam kehidupan saya,” jelasnya.
Sebagai rekod, Amorim menerima tawaran sebagai pengurus Liverpool dan West Ham United awal tahun ini tetapi beliau memilih untuk kekal di Sporting. – AGENSI