KLANG – Empat syarikat termasuk pengusaha kilang dikenakan tindakan undang-undang selepas didapati melupuskan bahan cetakan teks al-Quran secara tidak sah tahun ini.
Kesalahan itu antaranya melibatkan penjualan bahan atau kertas cetakan itu kepada pengilang untuk dijadikan bahan lain seperti tisu tandas dan pembalut barangan.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nik Yusaimi Yussof berkata, kes terbaharu dikesan melibatkan syarikat yang menjual bahan itu kepada sebuah kilang memproses kertas di sekitar USJ, Subang Jaya, bulan lalu.
Jelas beliau, siasatan pihaknya mendapati pihak terlibat disyaki mengumpul bahan itu dan turut mengedarkannya ke kilang lain di Melaka dan Pulau Pinang.
“Kesalahan itu jelas menyalahi peraturan mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1983 (Pindaan) 2023 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.
“KDN turut mengesan tiga lagi kes lain seumpama itu termasuk yang sudah didakwa di mahkamah Pulau Pinang dan kesemuanya dikenakan tindakan tegas,” katanya pada sidang akhbar program Pemuliaan Abu al-Quran di Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Indah di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengikuti proses pelupusan sebanyak 15 tan abu bahan dan teks al-Quran di sekitar Pulau Angsa, Kuala Selangor.
Pelupusan secara tertib yang turut disertai PPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu disempurnakan pada kedudukan kira-kira 13 batu nautika dengan kedalaman 10 meter, pukul 11.30 pagi. – KOSMO! ONLINE