GEORGETOWN – Jaguh Itali, Lorenzo Beltrami dan Lide Urrestarazu dari Sepanyol dinobatkan raja serta ratu bukit Kailas Penang Skyrace apabila berjaya menakluk larian mencabar sejauh 42 kilometer (km) Siri Dunia Skyrunner Merrell 2024.
Beltrami mendominasi perlumbaan dengan catatan masa empat jam 17 minit 14 saat (s) diikuti atlet Sepanyol, Ioseba Eskudero (4:53:31s) dan jaguh tempatan, Yusof Abdul Manan (5:48:08s) sementara rakan senegaranya, Gianluca Ghiano terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
“Saya berasa sangat gembira dapat menang di sini. Ini sememangnya sasaran saya apabila memutuskan untuk berlumba di sini.
“Ia sesungguhnya satu perlumbaan yang mencabar dan teknikal. Gelaran ini pasti menyuntik semangat saya untuk menghadapi pusingan akhir Siri Dunia di Valencia dua minggu akan datang,” kata Beltrami.
Sementara itu, Yusof berkata, perlumbaan tersebut bukan sahaja menampilkan barisan pelumba handalan dunia, malah bentuk rupa bumi yang sukar sekali gus menguji kemampuan semua peserta.
“Meskipun beraksi di laman sendiri, perlumbaan ini begitu sukar sekali. Tanjakan, rupa bumi, serta perubahan cuaca yang tidak diduga menjadikan saingan jauh lebih teknikal.
“Kami berdepan hujan lebat pada sebelah pagi dan pada penghujung saingan pula cuaca bertukar panas terik,” jelas Yusof.
Bagi kategori wanita, Urrestarazu menjuarai saingan dengan catatan 5:16:37s, mengatasi pencabar terdekatnya iaitu Iris Pessey dari Perancis (5:25:06s) dan peserta Republik Czech, Marcela Vasinova (5:53:57s).
Urrestarazu memberitahu, kejayaan memenangi perlumbaan dalam keadaan iklim di negara ini memberikannya kepuasan tidak terhingga.
“Saya betul-betul menikmati perlumbaan ini. Berlumba dalam cuaca panas dan lembab seperti ini adalah sesuatu yang baharu untuk saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE