MADRID – Bintang sensasi Real Madrid, Jude Bellingham dilaporkan semakin ‘tidak sebulu’ dengan barisan kejurulatihan yang diketuai Carlo Ancelotti sehingga menjejaskan prestasinya pada musim ini.
Sebagai rekod, Bellingham gagal memberikan impak yang sama seperti ditampilkannya tahun lalu apabila tidak mampu menjaringkan sebarang gol bersama The Galacticos musim ini.
Situasi tersebut dikatakan disebabkan pemain antarabangsa England itu menjadi ‘korban’ taktikal Ancelotti dengan memberi ruang kepada penyerang utama, Kylian Mbappe dan Vinicius Junior mendominasi jentera serangan.
Susulan itu, Bellingham telah diletakkan di luar daripada posisi kebiasaannya dengan beraksi di bahagian sayap kanan atau kiri bergantung kepada pasukan lawan.
Menurut pemerhati bola sepak Eropah, Emmanuel Petit percaya Bellingham kini tidak lagi gembira berada di Santiago Bernabeu selain dia juga terpaksa beraksi dalam keadaan tertekan.
“Kita tidak lagi lihat Bellingham tersenyum di atas padang. Ini kerana dia diletakkan di luar posisi kegemarannya dan mungkin situasi itu membuatkan dia tidak gembira bersama Real ketika ini,” kata bekas pemain Arsenal itu.
Difahamkan, Bellingham yang berusia 21 tahun, turut terkilan apabila namanya langsung tidak disebut oleh pihak pengurusan Real sebagai antara calon pemenang Ballon d’Or 2024, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada Vinicius Junior dan Dani Carvajal. – AGENSI