DISANGKA panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Siapa menduga dalam mengulit kebahagiaan selepas setahun rujuk dalam tempoh iddah, rumah tangga Farid Kamil dan Diana Danielle bakal menempuh perceraian kali kedua.
Semuanya tersebar apabila Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson mengakui mahu berpisah dengan Farid selain enggan lagi dipujuk apabila janji ditabur aktor itu sebelum ini tidak tertunai.
Dalam masa sama, peguam yang mewakilinya iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan aktres terbabit sudah memberi arahan untuk meneruskan proses memfailkan perceraian dalam tempoh terdekat.
Tindakan itu menunjukkan ketegasan Diana sekali gus lebih menguatkan lagi spekulasi bahawa ibu dua anak itu sudah nekad menoktahkan perkahwinan yang dibina selama 11 tahun.
Lain pula dengan Farid atau Farid Kamil Zahari yang masih ingin mempertahankan rumah tangga mereka dengan memujuk isteri agar perceraian tidak berlaku kali kedua.
Aktor berusia 43 tahun itu ketika bertemu media menyifatkan perselisihan faham yang berlaku antaranya dengan isteri merupakan asam garam dalam perkahwinan.
Masalah biasa
Tenang berhadapan pergolakan rumah tangga, pelakon filem Anwar Ibrahim: The Untold Story itu menerima dengan baik keputusan Diana untuk memfailkan perceraian dan bersedia memberikan komitmen terhadap proses yang bakal didepani kelak.
“Kali ini saya lebih bersedia berhadapan kes sama. Lagipun dalam kehidupan kita ke hadapan, kita tidak tahu apa yang bakal berlaku.
“Sebenarnya tiada masalah sangat pun, biasa-biasa sahaja untuk orang yang berkahwin.
“Perselisihan faham berlaku ketika bulan mengambang,” katanya yang ketika ini sibuk menjalani penggambaran.
Bagaimanapun, penulis sukar untuk memahami setiap bait-bait kata yang muncul dari bibir Farid semasa lawatan media ke lokasi filem Bisikan Dosa di Kuang, Selangor, baru-baru ini.
Jawapan yang diberikan seolah-olah tidak memenuhi soalan kerana turut mengheret isu politik dan ekonomi negara.
Anak
Namun, satu pujian perlu diberikan kepada Farid dan isteri kerana mampu menutupi permasalahan rumah tangga tanpa diketahui anak-anak iaitu Muhammad dan Aurora yang sedang membesar.
“Anak-anak saya memang tidak pernah tahu masalah kami. Mereka pun tak sempat baca benda gosip begini,” ujarnya pendek.
Dalam sebuah program audio siar pula, dia sempat menitipkan nasihat supaya kedua-dua anaknya mematuhi rukun Islam kedua agar kehidupan diberkati Allah.
“Baba (panggilan bapa) nak cakap dekat Muhammad dan Aurora, baba sayang anak-anak baba.
“Jangan tinggal sembahyang, ingat sembahyang selalu.
“Jalani kehidupan kalian dengan penuh ilmu agama di dada, barulah kalian berjalan dengan selamat dalam hidup dengan penuh fana,” ujarnya.
Dia juga sempat menaruh harapan untuk mengembalikan semula kepercayaan isteri demi mempertahankan kebahagiaan keluarganya.
“Saya sayangkan isteri dan anak-anak sampai sekarang.
“Saya sanggup buat apa sahaja demi memenangi hati mereka. Itulah maksud keluarga bagi saya,” jelasnya.
Esok, mungkin penentu sama ada Farid dan Diana akan bercerai ataupun tidak kerana mereka bakal hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi prosiding perceraian.
Pasti ramai yang tertunggu-tunggu usaha Farid kali ini yang bersungguh-sungguh mendapatkan hati isterinya semula.