PETALING JAYA – Seramai 3,000 peserta menyertai larian santai (fun run) PTPTN Run 2024 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari ini yang melibatkan kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas.
Menerusi acara larian fun run itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertindak sebagai penaja utama manakala Koperasi Pusat Pungutan Zakat (KoPPZ) sebagai penganjur.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, penganjuran PTPTN Run 2024 merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu dalam menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui sukan untuk semua.
“Amalan ini tidak hanya memberikan kesan positif kepada kesihatan fizikal, tetapi juga memberi impak yang baik kepada kesihatan mental dan emosi seseorang.
“Besar harapan saya, program larian ini dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti sihat sekali gus, dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan membangunkan produktiviti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, fun run itu juga diadakan sebagai menghargai para pelanggan yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada PTPTN.
PTPTN Run 2024 melibatkan jarak larian sejauh 3 kilometer, 5 kilometer dan 7 kilometer.
Selain itu, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti, senamrobik, slot kuiz PTPTN, pembukaan booth PTPTN dan acara cabutan hadiah dengan 10 hadiah lumayan berjumlah RM10,000 menanti peserta terlibat.
Program dimulakan dengan pelepasan atau flag off kayuhan basikal melibatkan 200 orang peserta anjuran DBKL manakala flag off peserta larian disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Ruji Ubi.
Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki; Timbalan Pengerusi Koperasi PPZ (KoPPZ), Khairulazhar Samsudin; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ahli Lembaga KoPPZ, Mohd Saufiyuddin Abu Bakar, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, pengurusan, kakitangan PTPTN, wakil-wakil kementerian, rakan-rakan strategik PTPTN dan pihak media. – KOSMO! ONLINE