TANAH MERAH – Seorang warga emas yang nyanyuk tidak perasan sudah lima hari tinggal bersama mayat anak lelakinya di rumah mereka dekat Taman Selasih di sini.
Kejadian tersebut disedari jiran mereka kira-kira pukul 11.50 pagi semalam selepas terhidu bau busuk.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, pihaknya bergegas ke rumah dua beranak itu selepas menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang lelaki, 53.
Menurutnya, polis terpaksa memecah pintu rumah itu kerana bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 90-an tidak boleh membuka pintu.
“Pemeriksaan di dalam rumah tersebut mendapati, mangsa sudah meninggal dunia di dalam sebuah bilik di tingkat atas. Siasatan di dalam rumah itu tidak menjumpai sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan jenayah,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tanah Merah di sini untuk proses bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE