fbpx

Tak malukah? Gerai warung macam nak roboh, kotor – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Perasmian HPPK2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha menambah baik warung, gerai dan penjaja kecil sekali gus dapat meningkat tahap kebersihan premis serta keselesaan pengunjung.

Beliau berkata, ini berikutan lebih 80 peratus rakyat di negara ini memilih untuk menjamu selera di premis-premis berkenaan berbanding di restoran besar.

“Tak malukah kita? Bukan main hebat (pembangunan di) Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru (sebagai contoh). Tapi, bila tengok gerai warung yang hampir 80 peratus rakyat kita pergi makan macam nak roboh, lampu tak menyala, tandas busuk dan kotor. Banggakah kita begitu?

“Sebab itu saya kena tumpu bidang itu bukan sahaja di Kuala Lumpur. Bagi saya, penting untuk memperbaiki infrastruktur seperti tandas, bumbung dan lampu di kawasan perniagaan kecil bagi meningkatkan pengalaman rakyat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abd. Majid

Pada majlis tersebut, Anwar turut membuat Peluncuran Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) selain menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Penjaja dan Penjaja Kecil 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, pengagihan pembangunan ketika ini perlu lebih holisitik dengan memberi fokus terhadap warung dan pusat penjaja kecil di kawasan sekitar perindustrian dan kawasan perumahan.

Hal ini demikian kerana katanya, majoriti atau kira-kira 70 peratus pekerja dalam sesuatu organisasi itu adalah pekerja biasa sahaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI