PETALING JAYA — Penuh rasa bangga, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkongsi detik penuh bermakna dalam hidup puteri sulungnya, Siti Aafiyah yang meraikan hari graduasinya buat kali pertama, hari ini.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pendidik Aafiyah yang telah memberikan ilmu serta tunjuk ajar selain mendoakan cahaya matanya itu menjadi insan berguna.
“Alhamdullillah, hari ini graduasi Aafiyah. Terima kasih kepada guru-guru yang mendidik Aafiyah sepanjang Aafiyah di @brainybunchofficial.
“Semoga anak-anak ibu menjadi anak yang soleh dan soleha, anak yang berjaya di dunia dan akhirat, pejuang agama Allah dan sentiasa memberi manfaat kepada insan lain,” ujarnya menerusi hantaran dalam Instagram.
Menerusi foto tersebut, Aafiyah kelihatan comel dalam pakaian graduasi kanak-kanak sambil memegang sijil pencapaiannya bersama ibu bapa dan adiknya, Afwa.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut berkongsi kegembiraan dan menzahirkan doa buat Aafiyah agar terus cemerlang dalam menimba ilmu.
“Tahniah Aafiyah, moga terus cemerlang dan berjaya macam ibu dan ayah awak, kejar dunia jua akhirat,” komen seorang peminat.
“Semoga perjalanan pendidikan Aafiyah terus dipenuhi keberkatan dan membuahkan kejayaan yang berpanjangan, sebagaimana harapan ibu bapa dan semua yang menyayanginya,” tulis seorang pengguna media sosial.
Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga bersama Datuk K atau Datuk Seri Khalid Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Mereka kemudiannya dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 6 dan Muhammad Afwa, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE.