SEPANG – Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin mencerahkan peluang untuk dinobatkan sebagai juara Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2024 selepas memenangi perlumbaan sprint Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Martin hanya perlu mengekalkan tunggangan terbaik di Sepang pada aksi sebenar petang ini untuk muncul juara dan mengharapkan pencabar terdekatnya, Francesco Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan.
Bagaimanapun, Bagnaia yang terjatuh di selekoh sembilan pada perlumbaan sprint semalam masih berpeluang mengheret perebutan gelaran dunia sekiranya berjaya berada di podium memandangkan dia kini ketinggalan 29 mata di belakang Martin.
“Sebaik sahaja saya melihat Pecco (Bagnaia) terjatuh, saya cuba sebaik mungkin untuk mengawal diri. Saya tahu saya perlu fokus untuk menamatkan perlumbaan ini,” katanya.
Sementara itu, pelumba Gresini, Marc Marquez melakukan kejutan apabila menamatkan perlumbaan sprint di tempat kedua sementara rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini meraih tempat ketiga.
Dengan kelebihan 29 mata dimiliki Martin, gelaran dunia musim ini hampir pasti berada dalam genggamannya dan perlu menjadikan perlumbaan di Sepang esok sebagai peluang keemasan untuk merangkul gelaran sulungnya dalam kelas perdana tersebut. – KOSMO! ONLINE