fbpx

JAIM terima 400 permohonan sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAIFULFAZLEE (kanan) menyaksikan perasmian Majlis Pra-Pelancaran MIHF’24 oleh Ab. Rauf (tiga dari kiri) di sebuah hotel di Kampung Bukit Cina, Melaka, hari ini.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima sebanyak 400 permohonan pensijilan halal daripada pengusaha hotel dan produk makanan serta minuman di negeri ini.

Menurut Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad, angka itu menunjukkan tahap kesedaran usahawan untuk berdaya saing dalam mendapatkan keyakinan lebih ramai pelanggan dalam kalangan umat Islam menerusi pemilikan status halal.

Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat menerusi penganjuran Festival Halal Antarabangsa Malaka 2024 (MIHF’24) yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Disember ini.

“Kita terima 400 permohonan pensijilan halal dan dijangka menerima lebih banyak lagi menerusi penganjuran MIHF’24 yang menghimpunkan lebih 450 pempamer produk halal.

“Kita berharap pengusaha kecil dan besar yang hadir ke festival ini dapat melihat kebolehpasaran produk dengan adanya status pensijilan halal ini di mana ia membantu meningkatkan jualan daripada pelanggan terdiri daripada umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pra Pelancaran MIHF’24 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di sebuah hotel di Kampung Bukit Cina, di sini, hari ini.

Jelasnya, MIHF’24 turut menghimpunankan pempamer dari luar negara antaranya Jepun, Korea Selatan, Bangladesh, Vietnam dan Filipina yang mengetengahkan pelbagai produk termasuk makanan, kosmetik, perkhidmatan kesihatan serta pelancongan.

Tambahnya, selaku penganjur MIHF’24, agensi agama itu juga akan menjadi pemudah cara kepada para peniaga untuk memahami proses mendapatkan sijil halal yang sering dibayangi dengan stigma birokrasi.

“Kita tahu ramai pengusaha merasakan susah untuk mendapatkan sijil halal, memang ia memerlukan ketelitian tetapi ia bukanlah susah mana dan kita akan jadi pemudah cara untuk mereka.

“Bagi pengusaha umat Islam pula, sijil halal ini bukan sahaja bagi mendapatkan status ‘Halal’ itu tetapi ‘Halalal Tayyiban’ yang merangkumi aspek kebersihan, selamat, berkualiti dan diurus dengan baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI