LONDON – Pelumba McLaren, Lando Norris mahukan persaingan yang bersih dan adil dengan Max Verstappen untuk gelaran dunia F1 tahun ini, namun percaya bahawa ia bukan tanggungjawabnya untuk menjadikannya berlaku.
Verstappen telah dikenakan penalti sebanyak 20 saat dalam perlumbaan terakhir di Grand Prix Mexico selepas memandu dalam keadaan bahaya dan menyebabkannya gagal menaiki podium.
Tindakan agresif Verstappen menerima kecaman hebat dan mampu merosakan reputasi dalam perlumbaan F1 terutama dalam memburu gelaran dunia musim ini.
“Saya mahu perlumbaan yang bersih dan adil. Itulah yang saya lakukan. Itulah cara saya berlumba. Itu adalah cara saya sepanjang karier saya.
“Bukan tanggungjawab saya untuk mengubahnya, pihak lain perlu melakukannya,” tegas Norris.
Dalam pada itu, Norris mengakui dia tidak bimbang dengan kebangkitan Ferrari selepas melakar kemenangan berturut-turut di Amerika Syarikat dan Mexico.
“Kami tidak bimbang dengan kebangkitan Ferrari kerana kami bekerja keras sepanjang musim ini. Kami telah mengatakan sejak 10 perlumbaan, fokus kami bukan pada Red Bull, tetapi pada Ferrari.
“Mereka mempunyai dua pemandu yang sangat kuat, sebuah jentera yang sangat pantas, jadi terpulang kepada kami untuk terus melakukan yang terbaik,” ujarnya. – AGENSI