LONDON – Arsenal dilaporkan tidak gembira dengan keputusan Pentadbir Pengadil Profesional Liga Perdana Inggeris (PGMOL) yang menugaskan Jarred Gillett sebagai pengadil bagi pertemuan antara pasukan itu dan Newcastle United di St. James Park malam ini.
Ia berikutan beberapa keputusan kontroversi melibatkan The Gunners setiap kali Gillett ditugaskan sebagai pegawai perlawanan, sekali gus menyebabkan pasukan dari utara London itu berdepan beberapa keputusan yang boleh dipertikai.
Penyokong-penyokong Arsenal masih belum dapat memaafkan tindakan Gillett yang mencadangkan supaya William Saliba dilayangkan kad merah sehingga menyebabkan mereka mengalami kekalahan pertama ketika bertemu Bournemouth bulan lalu.
Secara keseluruhan, pengadil berusia 38 tahun itu sudah pun ditugaskan dalam tiga perlawanan melibatkan Arsenal musim ini dengan dua lagi aksi ketika bertemu Wolverhampton Wanderers dan Tottenham Hotspur.
Ketika tewas kepada Bournemouth, Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui bahawa beliau tidak gembira dengan tindakan Gillett yang bertugas di bilik Video Bantuan Pengadil (VAR) supaya Saliba dibuang padang.
“Pada awalnya, keputusan itu sudah dibuat, tetapi ia diubah semula hasil cadangan daripada VAR. Saya percaya, tidak ada sebarang keputusan yang akan diubah sehingga tiga kali,” katanya.
Tambah menarik, pengadil dari Australia itu juga merupakan individu sama yang ditugaskan ketika Arsenal tewas 0-2 kepada Aston Villa musim lalu sehingga menyebabkan mereka terlepas peluang memenangi Liga Perdana. – AGENSI