SYDNEY – Buaya air masin terbesar di dunia yang hidup di dalam sebuah kurungan di Australia dilaporkan telah mati, demikian menurut saluran berita ABC hari ini.
Buaya jantan itu bernama Cassius. Reptilia sepanjang 5.48 meter yang tinggal di Pulau Hijau, perairan Terumbu Karang Besar itu dipercayai berusia hampir 80 tahun ketika ditangkap dalam tahun 1980-an.
Haiwan itu memegang rekod dunia sebagai buaya terbesar yang hidup dalam kurungan pada 2011.
Buaya itu kini dipercayai berusia lebih 110 tahun.
Pihak Marineland Melanesia Crocodile Habitat mengumumkan kematian buaya seberat lebih satu tan itu.
“Cassius sudah sangat tua dan dipercayai hidup melebihi tempoh hayat buaya liar,” kata pasukan yang menjaganya.
“Cassius akan sangat dirindui, tetapi kasih sayang dan kenangan kami tentangnya akan kekal dalam hati kami buat selama-lama,” tambah pasukan tersebut. – AGENSI