fbpx

79 senjata tajam ‘berpenunggu’ dirampas di vila Tabib Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN polis bersama-sama penguat kuasa JAIM melakukan serbuan di pusat rawatan Tabib Adam di Masjid Tanah, Melaka selepas kaedah rawatan digunakan diwartakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri.

ALOR GAJAH – Polis merampas 79 senjata tajam termasuk keris, pedang, parang dan tombak yang didakwa ‘berpenunggu’ dalam serbuan di pusat rawatan Tabib Adam di Masjid Tanah, di sini, bulan lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, turut ditahan adalah anak lelaki kepada pengamal perubatan berkenaan yang berusia 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, serbuan telah dilakukan sepasukan pegawai kanan dan anggota daripada Cawangan Khas serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada 24 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan di sebuah kediaman di dalam premis rawatan berkenaan telah menjumpai sebanyak 79 senjata tajam yang dikategorikan sebagai senjata berjadual yang disimpan tanpa tujuan atau maksud yang sah.

“Seorang penghuni iaitu anak lelaki kepada pengamal perubatan terbabit memberitahu senjata berkenaan telah dibawa oleh pesakit kerana mendakwa ia mempunyai ‘penunggu’ dan pusat rawatan membantu ‘membersihkannya’,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pesakit bagaimanapun dikatakan tidak mengambil semula senjata-senjata tersebut selepas proses ‘pembersihan’ dilakukan dan disimpan di kediaman berkenaan.

“Selain itu pemuda tersebut juga mendakwa sebahagian senjata berkenaan digunakan sebagai ʼpengerasʼ yang diberikan pesakit kepada ayahnya untuk mendapatkan rawatan.

“Katanya inividu yang menjalankan rawatan adalah ayah kandungnya bernama Adam, manakala dia hanyalah salah seorang penghuni di kediaman tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, semasa serbuan dilakukan pengamal perubatan tersebut tiada di kediaman dan kali terakhir anaknya berjumpa adalah pada 23 Oktober.

Ashari berkata, anak pengamal perubatan itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu, Kosmo! pada 14 Oktober lalu melaporkan pengamal perubatan dikenali sebagai Tabib Adam yang dipercayai melakukan rawatan ke atas kira-kira 50 pesakit setiap hari termasuk membuang saka diwartakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu telah ditetapkan pada 12 September lalu selepas hasil kajian dan laporan dibentangkan dalam muzakarah mendapati rawatan yang dilakukan di pusat tersebut mempunyai elemen keraguan termasuk menyeru makhluk halus.

Ujarnya, susulan itu pihaknya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan fatwa yang telah diwartakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI