KUALA SELANGOR – Kedegilan tiga buah kilang kitar semula terus beroperasi secara haram di sekitar Jalan Harmoni di sini, berakhir selepas digempur pihak berkuasa baru-baru ini.
Operasi selama dua jam bermula pukul 10. 30 pagi pada 29 Oktober lalu turut menyita pelbagai barangan dianggarkan RM100, 000 selain kesemua kilang diarahkan tutup serta-merta.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi ini dijalankan hasil maklumat orang awam, dan risikan pihaknya mengenai kilang yang beroperasi tanpa kebenaran antara tiga hingga empat bulan.
Katanya, kilang-kilang itu juga didapati ingkar terhadap notis yang telah dikeluarkan oleh MPKS sebelum ini.
“Semasa pemeriksaan dibuat, didapati premis disyaki menyimpan dan memproses pelbagai buangan terjadual.
“Ini termasuk metal dross, buangan bateri kering, Plastic Circuit Board (PCB), buangan copper scrap dan serbuk mesin pencetak terpakai serta plastik terpakai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Operasi melibatkan 46 anggota turut melibatkan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor)
Mohamad Lutfi menegaskan, ketiga-tiga kilang yang diserbu diarahkan tutup serta merta dan dikenakan kompaun ekoran kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang.
Sitaan turut dikenakan melibatkan empat unit forklift, peralatan berkaitan e-waste dan 19 jongkong plumbum yang dianggarkan sebanyak RM100,000.
“Kes ini disiasat di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007,” katanya.
Beliau menambah, JAS turut mengambil sampel barang-barang e-waste untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi proses analisis.
“Selain itu, Air Selangor melakukan pemotongan bekalan air di ketiga-tiga kilang terbabit,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE