PUCHONG – Hampir setahun kejadian tanah runtuh yang hampir meragut nyawa 50 penduduk Taman Wawasan di sini, akhirnya perumahan tersebut bebas daripada risiko bencana itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed selepas lawatan rasmi bersama pelbagai agensi berkaitan pada 28 Oktober lalu.
Beliau berkata, keputusan mengisytiharkan Taman Wawasan sebagai bebas bencana dibuat berdasarkan pandangan dan nasihat yang diterima daripada agensi-agensi terlibat, selain mengambil kira laporan teknikal daripada Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
“Saya mengisytiharkan kawasan Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong bebas bencana tanah runtuh dan semua keluarga terlibat boleh berpindah masuk ke kediaman masing-masing berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam kenyataan diedarkan kepada media di sini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han turun ke Taman Wawasan di sini bagi mengadakan sidang akhbar pemindahan kembali penduduk.
Disember lalu Kosmo! melaporkan, nyawa hampir 50 penduduk Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Taman Wawasan di sini nyaris melayang apabila kawasan kediaman yang didiami lebih 23 tahun lalu tiba-tiba berlaku tanah runtuh hingga ‘menelan’ jalan.
Kejadian pada pukul 7 malam pada 16 Disember itu berlaku ketika hujan lebat dan penduduk berada di rumah.
Rata-rata mereka mengatakan ia merupakan kejadian pertama sejak diduduki pada tahun 2000 dan ekoran kejadian itu, kesemua penghuni terjejas terpaksa berpindah. – KOSMO ONLINE