PETALING JAYA- Shopee telah mengiktiraf 116 individu cemerlang melalui Shopee Superstar Awards 2024 yang turut dihadiri lebih daripada 500 hadirin termasuk afiliasi utama dan peneraju industri.
Anugerah tersebut telah meraikan ramai individu yang mencatat kejayaan dalam 20 kategori berbeza, termasuk beberapa anugerah pilihan peminat yang dipilih melalui undian awam.
Ketua Komunikasi Kerajaan dan Perhubungan Awam Shopee Malaysia, Nadia Anwar berkata, acara ini bertujuan untuk meraikan pencapaian bakat cemerlang mereka dalam menyokong pertumbuhan e-dagang negara.
“Shopee Superstar Awards 2024 ini menyerlahkan impak besar Afiliasi Shopee kepada penjual dan jenama tempatan yang memacu pertumbuhan komuniti dalam sektor dagangan secara online negara.
“Tahun ini, kami berbesar hati mengalu-alukan lebih 300,000 afiliasi baharu ke dalam ekosistem kami, menunjukkan peningkatan tiga kali ganda daripada tahun lalu,” katanya dalam acara Shopee Superstar Awards 2024 di sini baru-baru ini.
Nadia menjelaskan, anugerah tersebut juga bertujuan untuk memberi penghargaan kepada afiliasi terunggul Shopee yang berjaya meningkatkan jumlah pesanan bagi penjual dalam kategori fesyen (600 peratus), kecantikan (300 peratus) dan gaya hidup (250 peratus) pada tahun ini.
Tambah beliau, Shopee juga meraikan lebih daripada 500,000 Afiliasi Shopee dalam komuniti mereka yang secara kolektif telah menjana lebih 90 juta pesanan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan, penjual dan jenama di platform pada tahun ini.
“Anugerah ini sekali gus mencerminkan komitmen kami untuk memperkasakan rakyat tempatan agar berjaya dalam ekonomi digital, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kami juga sentiasa komited untuk menyokong aspirasi pempengaruh dan bakat tempatan dalam membina rangkaian afiliasi yang kukuh,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE