KUALA LUMPUR – Penyasaran subsidi terhadap golongan berpendapatan tinggi dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini adalah sebagai inisiatif membantu golongan berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar dakwaan seperti ‘Robin Hood’ dan beliau melihat tindakan itu adalah munasabah serta adil.
“Bila pembentangan di Parlimen, lebih ramai bicara pertahankan T15 daripada mereka yang berpendapatan rendah daripada itu. Saya bukan anti maha kaya tapi saya kata, kalau kaya bayarlah (subsidi).
“Saya rasa munasabah penarikan itu kerana mereka mampu dan itu bukan diskriminasi. Dengan ini, pendapatan juga bertambah dan bantu di bawah.
“Kalau kita nak jaga golongan miskin, kita mesti ada sumber yang cukup. Kita mewarisi hutang mencecah RM1.5 trilion dan kita tidak mahu cukai rakyat jadi kita cukai sedikit terhadap golongan maha kaya,” jelasnya dalam Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) di sini, hari ini.
Katanya, Malaysia antara negara yang memberikan subsidi tertinggi dan sistem percukaian terendah di dunia.
“Kerajaan cuma mahu mereka bayar harga kos, bagi saya itu adil. Jika ada pihak yang nak jadikan isu politik, tidak adil dan tidak munasabah itu kerana melibatkan perniagaan mereka.
“Insya-Allah kita akan melaksanakan sebaiknya demi menyelamatkan rakyat dan negara ini,” tegasnya.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad. -KOSMO! ONLINE.