PETALING JAYA – Nuh Travel and Tours (Nuh Travel) mengunjurkan pendapatan bagi tahun depan bertambah kepada RM50 juta, dipacu oleh pelbagai faktor positif melibatkan tawaran pakej pelancongan baharu ke beberapa destinasi pelancongan popular di luar negara dan juga ziarah umrah yang ditawarkan kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohammad Adam Jalalel Din berkata, jumlah itu mampu dicapai melalui anggaran syarikat untuk memperoleh seramai 4,500 pelanggan mendaftar pakej pelancongan dan 1,500 pelanggan mendaftar untuk pakej umrah ziarah pada tahun depan.
Turut menyokong perkembangan positif prestasi kewangannya tahun depan juga bakal disokong oleh perancangan syarikat membuka cawangan baharu di luar Lembah Klang.
Menurut beliau, pada tahun ini, syarikat menyasarkan pendapatan bakal memcecah kepada RM25 juta.
“Sehingga kini hasil yang diperoleh adalah sebanyak RM16 juta dan berbaki beberapa bulan hingga hujung tahun, kami yakin pendapatan bakal mencecah sehingga RM25 juta.
“Berbanding pencapaian tahun lalu, kami telah berjaya menjana hasil sebanyak RM23 juta,” katanya pada sidang akhbar bersempena majlis cabutan bertuah di sini baru-baru ini.
Majlis cabutan bertuah kali kedua yang menawarkan hadiah bernilai kira-kira RM15,000 itu bertujuan untuk menghargai pelanggan yang membuat tempahan pakej pelancongan dan umrah di antara bulan Jun hingga Oktober lalu yang melibatkan seramai 1,000 pelanggan.
Melihat kepada pertambahan pelanggan dan peningkatan keyakinan pelanggan terhadap Nuh Travel, syarikat bakal menganjurkan cabutan bertuah terbaharu pada tahun depan untuk pelanggan yang membuat tempahan pakej sepanjang bulan November tahun ini hingga April 2025.
“Majlis cabutan bertuah ketiga akan diadakan pada bulan Mei tahun depan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE