APABILA membincangkan isu kesihatan dan pencegahan penyakit, hanya segelintir yang berfikir untuk melindungi hati mereka.
Kebanyakan orang bukan sahaja tidak terfikir, bahkan ramai yang tidak tahu apa fungsi organ yang penting ini.
Anda mungkin terkejut apabila diberitahu bahawa hati adalah sejenis organ yang juga kelenjar dan menjalankan pelbagai fungsi untuk memastikan badan sentiasa sihat.
Contohnya, hati membantu membersihkan toksin dalam darah dan menyimpan glikogen untuk digunakan sebagai tenaga. Ia juga menghasilkan hempedu yang membantu memecahkan protein, karbohidrat dan lemak.
Bagaimanapun, fungsi penting ini boleh terancam dengan kehadiran virus hepatitis yang terdiri daripada lima sekawan iaitu hepatitis A, B, C, D dan E.
Pakar Reumatologi dan juga Pakar Perubatan Am di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Chua Siew Huoy berkata, mana-mana virus ini boleh menyebabkan hati mengalami keradangan.
Menurutnya, hepatitis A dan E biasanya merebak apabila manusia mengambil makanan atau minuman yang tercemar, selalunya disebabkan kurangnya penjagaan kebersihan diri atau sanitasi.
“Keadaan ini dikenali sebagai laluan najis ke mulut dan daya jangkitan virus hepatitis A (HAV) berbeza-beza kerana jika ia berada di tangan, ia boleh kekal dalam keadaan mudah menjangkiti selama beberapa jam, manakala beberapa hari jika pada makanan.
“Bahkan ia dapat bertahan selama beberapa bulan pada makanan sejuk beku, permukaan dan najis,” katanya.
Tambahnya, punca hepatitis E yang paling lazim ialah memakan hati haiwan yang tidak dimasak sepenuhnya.
Sementara itu, virus hepatitis B, C dan D disebarkan melalui darah dan lain-lain cecair badan yang dijangkiti di mana virus hepatitis B (HBV) biasanya ‘diwariskan’ daripada ibu yang dijangkiti kepada anaknya sama ada ketika hamil atau bersalin.
Penyebaran virus hepatitis B, C dan D turut berlaku ketika mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pasangan yang dijangkiti, berkongsi jarum suntikan dan terdedah kepada darah yang tercemar.
Jelasnya, virus hepatitis D (HDV) dikenali sebagai ‘virus satelit’ kerana ia bergantung kepada HBV untuk mereplikasi. Oleh itu, ia hanya boleh menjangkiti seseorang yang turut mengalami jangkitan HBV.
Mengulas lanjut, Dr. Siew Huoy menerangkan, hepatitis A, B dan C adalah perkara biasa di negara ini dan kebanyakan kes sembuh sendiri.
Terangnya, kita tidak boleh memandang ringan keadaan ini kerana dianggarkan 1 juta orang mendapat jangkitan HBV yang kronik dan ia menyumbang kepada lebih 80 peratus kes kanser hati di Malaysia.
“Oleh kerana jangkitan virus hepatitis tidak bergejala (asimptomatik), maka ramai yang tidak sedar mereka telah dijangkiti.
“Lebih membimbangkan, walaupun tanpa gejala, individu ini berada dalam keadaan mudah menjangkitkan penyakit dan tanpa disedari mereka mungkin telah jangkiti orang lain,” jelasnya.
Sementara itu, bagi yang bergejala, mereka mungkin alami demam, keletihan atau kelesuan, hilang selera makan, mual atau muntah dan sakit perut.
Selain itu gejala lain termasuk air kencing berwarna gelap, jaundis iaitu kulit atau mata jadi kekuningan dan najis berwarna pucat.
Satu-satunya cara untuk mengesahkan kehadiran virus hepatitis ialah melalui ujian darah.
Oleh kerana kebanyakan kes tidak bergejala, virus hepatitis biasanya dikesan secara kebetulan ketika ujian saringan rutin.
Menerusi kempen saringan hepatitis B kronik (CHB) dalam komuniti di Malaysia, didapati hanya 13 peratus daripada orang yang diuji positif CHB menyedari mereka menghidap hepatitis B.
Oleh itu, saringan dan vaksinasi di samping gaya hidup sihat amat penting untuk merapatkan dan memutuskan rantaian jangkitan hepatitis.
Dr. Siew Huoy berkata, vaksinasi adalah kaedah yang berkesan untuk melindungi daripada jangkitan HAV dan HBV, di mana vaksin hepatitis B diberikan kepada bayi dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran.
“Selepas itu, dos susulan akan diberikan dalam bentuk vaksin kombinasi pada umur 2, 3 dan 5 bulan.
“Bagi yang tidak pasti mengenai status vaksinasi mereka atau berada dalam kelompok berisiko tinggi mendapat HBV perlu menjalani ujian untuk mengetahui status imun mereka dan mempertimbangkan untuk mengambil dos penggalak jika diperlukan,” ujarnya.
Golongan ini termasuk, pesakit penyakit hati kronik, mereka yang lemah sistem imunnya, orang yang mengambil dadah secara suntikan intravena, lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, pengembara yang pergi ke tempat yang tinggi keendemikan hepatitis dan kakitangan penjagaan kesihatan.
Rawatan virus hepatitis yang ada kini bertujuan menghapuskan virus dan mencegah perkembangan penyakit hati.
Bagi mengurangkan lagi risiko jangkitan pada diri sendiri dan mengelak disebar kepada orang lain, maka amat penting untuk menjaga kebersihan diri serta amalkan gaya hidup sihat dan selamat.