fbpx

Penulis skrip dipinggirkan ASA2024?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDEKATAN ASA2024 yang membuat penyerahan trofi Penulis Skrip Drama TV dan Radio Terbaik bukan pada malam kemuncak dipertikaikan rata-rata orang industri, termasuklah Siti Jasmina Ibrahim.

‘INI sangat menyedihkan.’
Itu antara respons penerbit pengarah juga penulis skrip Shahrulezad Mohameddin terhadap isu yang dibangkitkan penulis skrip tanah air, Siti Jasmina Ibrahim berhubung percaturan penyampaian trofi Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) yang tidak didendangkan pada malam kemuncak sebaliknya disampaikan pada majlis berasingan.

Bukan itu sahaja, penerima trofi Skrip Drama TV Terbaik ASA2010 menerusi drama Perempuan yang juga isteri kepada pelakon Khir Rahman itu turut menzahirkan ketidakpuasan hati berhubung pecahan kategori penilaian skrip terbaik yang tiada kategori membezakan format drama bersiri atau telefilem.

“Trofi Penulis Skrip Terbaik tidak ada di malam kemuncak. Diberi hari lain di majlis lain tanpa memaklumkan pun kepada calon Top 5. Dan penulis skrip drama siri tak pernah ada kategori khasnya sendiri.

“Dahulu pernah kena kongsi dengan penulis skrip telemovie.Semua ini hanya berlaku di Malaysia tanah airku. Terima kasih Malaysia,” tulis Siti Jasmina dalam Instagram.

Pada ASA2024, trofi Skrip Drama TV Terbaik menjadi milik Zainorsham Samuddin menerusi naskhah Lebai Sampan lakonan Que Haidar, Beto Kusyairy dan Jalil Hamid.

Turut bersatu pendapat dengan Jasmina, penulis juga pengarah filem, Nizam Zakaria juga kecewa dengan pendekatan banyak pihak yang tidak menyedari kepentingan skrip dalam pembikinan karya kreatif.

“Skrip adalah tunjang pembikinan drama TV. Ramai yang belum sedar lagi tentang perkara ni sampai ke sekarang,” katanya.

Berkongsi pandangan, Ketua dan selaku Koordinator Juri ASA2024, Rosli Mohd. Nordin berkata pihaknya termasuk barisan juri lain membuat penilaian berdasarkan kualiti, bukannya popularity sesebuah naskhah.

“Sebagai Ketua dan Koordinator Juri, saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan 50 orang juri profesional daripada pelbagai latar belakang (kerjaya, pengalaman dan kepakaran).

“Amanah yang disampaikan oleh Ketua Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin kepada juri yang dilantik ialah pemenang ASA2024 sewajarnya mengiktiraf kualiti bukan populariti.

“Tiada yang sempurna, kami buat penambahbaikan dari masa ke masa, saya dan pasukan Sekretariat Penjurian di IPPTAR telah memberikan yang terbaik dalam memastikan pemenang setiap kategori merupakan yang terbaik dalam kalangan yang terbaik,” ujarnya.

ASA2024 kali ini mempertaruhkan 60 kategori meliputi televisyen, radio dan media baharu serta lebih banyak berbanding tahun sebelum ini tetap tidak mampu memuaskan hati banyak pihak.

Situasi yang berlaku ketika ini saling tidak tumpah seperti pepatah rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Acara sudah selesai, suara-suara kritikan terus berkicauan dalam media sosial.

Bersuara bagi pihak individu yang pernah tercalon sebelum ini, Siti Jasmina berkata, sebagai individu yang sudah lama terlibat dalam penulisan skrip dan pernah merasai momen diraikan dalam majlis seperti ASA pastinya terbit rasa terkilan apabila melihat situasi sebegitu berlaku.

“ASA dianjurkan oleh pihak yang sebelum ini mengingatkan para penulis supaya hasilkan cerita yang baik, lain dari yang lain, berkualiti dan bernilai,” katanya kepada HibGlam.

Justeru, ASA sepatutnya menjadi acara hebat untuk menghargai hasil kerja para penulis dan penggiat seni.

“Apabila ada majlis pengiktirafan begini, sepatutnya menjadi malam meraikan golongan seni. Kami bukan menulis untuk dapat anugerah semata-mata tetapi apabila ada majlis sebegini, kami menyambutnya sebagai satu platform menghargai hasil kerja penulis skrip drama atau filem.

“Majlis anugerah luar negara dan berprestij, beberapa kategori penting pasti akan ada pada malam kemuncak dan memang dinanti-nantikan pengumumannya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia turut terkejut dengan pihak penganjur yang tidak menjemput finalis pada hari pengumuman pemenang kategori Skrip Drama TV Terbaik ASA2024.

“Paling tidak pun, calon akhir perlu dijemput pada majlis pra ASA iaitu hari untuk mengetahui pemenang kategori mereka. Tidak dijemput adalah perkara yang sangat mengejutkan semua.

“Pengurusan yang lemah bagi saya tidak sepatutnya berlaku pada sebuah majlis besar begini. Lebih baik mansuhkan saja kategori tersebut.

“Adakah skrip sekarang ini bagi pihak tertentu, tidak penting lagi? Maka tidak perlulah para penulis bersusah payah mengikut setiap hasrat pihak tertentu yang mahukan para penulis hasilkan cerita yang terbaik dan berkualiti,” ujarnya lagi.

Sementara, bagi kategori Skrip Drama Radio Terbaik ASA2024 pula dimenangi oleh Noor Idlah Abdul Halim menerusi drama Rumah Merdeka bagi siaran Selangor FM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI