SEGAMAT – Seorang lelaki mati dilibas dan ditetak dengan parang dalam satu kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki dan wanita kerana membuat bising di hadapan sebuah rumah di Taman Sejati, Batu Anam di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, dalam kejadian pada pukul 9 malam itu mangsa yang berusia 30 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di antara suspek dengan mangsa yang dipercayai telah membuat bising di hadapan rumah suspek.
“Berang kerana teguran tidak diendahkan, suspek bertindak luar kawalan menyerang mangsa dengan menggunakan parang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, susulan kejadian itu, polis membuat tangkapan ke atas dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan belasan tahun sehingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian.
Katanya, beberapa rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut mengalami kecederaan, namun dirawat sebagai pesakit luar.
“Dalam kejadian berkenaan, kenderaan milik keluarga suspek juga dirosakkan oleh rakan-rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek yang menyebabkan rakannya terbunuh.
“Sementara itu, tiga lelaki yang melakukan khianat dan rusuhan susulan dari kejadian pertama ditahan,” katanya.
Ujar Ahmad Zamry, semakan rekod jenayah lampau dapati suspek utama bunuh mempunyai tujuh rekod lampau. – KOSMO! ONLINE