KUALA LUMPUR – Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung berkuat kuasa hari ini.
Tindakan tersebut diambil selepas didapati berlaku ketidakharmonian dan konflik dalaman pertubuhan membabitkan Ahli Jemaah Pengurusan (AJP) pertubuhan itu.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini telah mengeluarkan perintah terhadap Nafas untuk memperbaiki tadbir urus dan tatakelola dalam tempoh lapan bulan sebelum ini.
Katanya, dalam tempoh perintah ini, telah berbangkit isu-isu yang menjurus kepada konflik dan ketidakharmonian dalaman.
“Antara ketidakharmonian yang berlaku adalah terdapat Ahli Jemaah Pengarah belakangi keputusan pendaftar dengan bertindak sendiri sebelum merujuk kepada pendaftar.
“Sehubungan itu, satu perintah penggantungan Nafas berkuat kuasa hari ini dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar di Menara LPP, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Amir berkata, Nafas mempunyai hak untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah tersebut.
Jelasnya, semasa tempoh penggantungan, Nafas akan diuruskan dan ditadbir oleh pentadbir.
“Oleh itu, Nafas masih terus beroperasi seperti biasa dengan kakitangan dan pegawai sedia ada,” katanya.
Amir menjelaskan, AJP Nafas tidak dipecat, namun perlu menyerahkan kuasa sementara kepada pentadbir selama mana tempoh pergantungan berlangsung.
“Tiada ketetapan tempoh penggantungan ini berlaku, mungkin sebulan atau tiga bulan dan boleh jadi setahun, mengikut arahan seterusnya daripada,” katanya.-KOSMO! ONLINE.