JAKARTA – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah jambatan tepi laut runtuh di wilayah Maluku Tengah, timur Indonesia, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Kejadian berlaku apabila beratus-ratus orang berkumpul di atas jambatan atau jeti lama untuk menyambut ketibaan seorang ahli politik tempatan, Andi Munaswir, di Pulau Banda.
Bagaimanapun, jambatan itu runtuh secara tiba-tiba dipercayai akibat kapasiti berlebihan.
Ahli politik tersebut dijadualkan berucap pada perhimpunan awam berhubung pilihan raya tempatan yang akan datang.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Banda Naira dengan bot laju untuk rawatan lanjut. – AGENSI