fbpx

Empat polis ditahan curi barang kemas orang mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Empat anggota polis berpangkat konstabel dan koperal ditahan selepas disyaki mencuri barang kemas milik wanita yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian barang kemas itu daripada bapa mangsa pada 8 Oktober lalu.

“Pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis. Walau bagaimanapun selepas memperoleh beberapa keterangan, kita menyiasat kes itu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rusdi, empat anggota keselamatan yang berusia 28 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar Setapak, di sini.

Mereka direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Polis turut merampas resit dan seketul logam berwarna kekuningan seberat 11.52 gram.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan dan memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki mendakwa barang kemas yang dipakai anak perempuannya lesap.

Wanita itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang diletakkan di sebuah kondominium di Setapak pada 1 Oktober lalu.

Berdasarkan gambar yang dikongsi pihak bomba, wanita itu masih memakai rantai dan gelang sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI