fbpx

Buktikan status OKU tidak halang jadi usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURIN bersama ibu bapanya, Halid Ahmad dan Noor Sa’adah Mashuddi yang banyak memberikan sokongan.

MESKIPUN dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) yang tidak dapat mendengar dan bertutur, Nurin Alya Halid berjaya membuktikan dia mampu mencapai kejayaan hingga bergelar usahawan batik.

Lebih membanggakan, dia turut menjadi penerima Anugerah Sumber Inspirasi sempena majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas 2024 baru-baru ini.

Wanita kelahiran Kampung Melayu Raya Sagil, Johor itu menamatkan pendidikan di peringkat menengah dan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini dalam program Operasi Pengeluaran Batik.

Terdahulu, Nurin telah menerima Anugerah Tokoh OKU Negeri Johor 2023.

Kini, pada usia mencecah 25 tahun, Nurin sudah memiliki dan mengusahakan Rinleed Batik, sebuah syarikat berasaskan produk hasil batik canting di Tangkak.

Katanya, apa yang dikecapinya pada hari ini adalah hasil sokongan berterusan kedua-dua orang tuanya.

Selain itu, sikap tidak mudah berputus asa membolehkan dia mengecapi kejayaan.

“Bukan hanya saya yang boleh (berjaya), yang senasib dengan saya jangan gunakan kekurangan diri sendiri sebagai OKU untuk berputus asa.

“Jangan malas, terus semangat untuk sama-sama berjaya,” katanya kepada Aura dengan bantuan penyampaian oleh ibu bapanya.

NURIN mengusahakan bisnes batik di Tangkak, Johor.

Jelas anak ketiga daripada enam beradik ini, dia sentiasa bersyukur dengan nikmat pencapaiannya yang diberikan Allah.

“Gembira dapat anugerah secara langsung daripada KPM ini.

“Semua pencapaian saya ini, saya tahu datangnya daripada Allah,” katanya.

Rinleed merupakan syarikat dan bengkel batik yang menghasilkan kain pasang, kaftan, jubah dan fabrik berasaskan cantingan serta blok bermotifkan tradisional, geometri dan bunga-bungaan.

Ditanya bagaimana boleh menceburi batik, Nurin memberitahu, ia bermula daripada minatnya terhadap corak batik yang pelbagai dengan padanan warna menarik.

“Saya suka warna yang cantik dan bunga-bungaan sampai saya suka canting batik.

“Bila saya tengok pada baju yang cantik, ia beri idea untuk terus canting corak yang lebih cantik daripada contoh yang ada dan kemudian dijual,” ujarnya.

Selain itu, Rinleed Batik turut aktif mengadakan interaktif kraf mewarna bukan sahaja di bengkel, malah sekitar Johor untuk tujuan promosi pelancongan.

Jelas Nurin, dalam jangka masa panjang, dia menyimpan impian untuk membawa hasil batik rekaannya sendiri hingga ke persada antarabangsa pada satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI